Ekonomi Malaysia bertambah teruk dan langkah kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi (SRP) serta cukai perkhidmatan dan barangan (GST) hanya membawa kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh tidak sampai tiga tahun akan datang.

Perkara itu diramalkan penganalisis ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang percaya ia berkait rapat dengan fenomena pecahnya gelembung sektor harta tanah (property bubble burst). 

Menurutnya, perkara itu akan berlaku kerana tidak ramai yang mampu lagi membeli harta tanah kerana beban hutang isi rumah yang makin tinggi.

NONE"Saya tak suka jadi penyampai berita buruk tetapi risiko akan ada risiko kemelesetan ekonomi paling lewat pada 2016 adalah sangat tinggi pada pendapat saya.

Dan antara faktor utamanya ialah pecahnya gelembung sektor hartanah. Dan kerana sebab itulah GST perlu ditangguhkan," kata beliau dalam forum "Apa yang salah dengan ekonomi kita" anjuran Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) di ibu negara malam tadi.

Pada tahun 2008, krisis subprima lantaran ketidakmampuan pembeli harta tanah dan peminjam menguruskan pinjaman menyebabkan beberapa institusi kewangan melibatkan hartanah di Amerika Syarikat runtuh.

Malah tinjauan terhadap Indeks Harga Harta Tanah Malaysia menunjukkan persamaan yang membawa kepada gelembung harga harta tanah di negara-negara yang pernah mengalaminya.

Azrul yang juga Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi dan Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor menambah, pelaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kesan teruk 4% inflasi 

Seterusnya, katanya, menyebabkan berlakunya kesan buruk berganda kepada isi rumah.

Beliau berkata, walaupun jangkaan inflasi hanya bertambah sebanyak 4 peratus di atas kertas, realiti hidup rakyat biasa bakal terjejas teruk.

Ini menurutnya akan menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti pembelian dan menyebabkan transaksi ekonomi menjadi lembap dan seterusnya runtuh.

azlan"Pemotongan subsidi ini akan jadi alasan kepada pengusaha untuk naikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Walaupun di Malaysia kita ada akta lindungi pengguna, tetapi tidak kuat, jadi pengguna tidak dapat perlindungan sewajarnya.

"Kita juga akan lihat fenomena di mana pengguna atau rakyat akan ambil sikap tidak mahu berbelanja kerana takut kenaikan harga barang lain pula, ini akan menyebabkan KDNK dan pertumbuhan akan merosot itu antara impaknya," kata beliau.

Azrul (atas) menambah faktor hutang isi rumah berbanding pendapatan boleh guna juga meningkat sehingga 140 peratus, lebih tinggi daripada Amerika Syarikat, pada 123 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada sesi pembentangan Bajet Oktober lalu dan akan memulakan pelaksanaannya dalam bulan April 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata mekanisma pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion, apabila matang kelak.