Alhamdulillah

Tuesday 15 July 2014

Naikkan OPR untuk kekang inflasi

Kenaikan OPR dijangka mengurangkan tekanan ke atas harga barangan yang semakin meningkat disebabkan permintaan tinggi. - Foto: Bernama




KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kelmarin, iaitu pertama kali sejak 2011, dijangka dapat mengurangkan inflasi dalam negara serta mengekang kenaikan hutang isi rumah yang semakin melonjak.

BNM kelmarin mengumumkan OPR dinaikkan kepada 3.25 peratus berbanding 3.00 peratus sebelum ini.

Kali terakhir OPR  dinaikkan adalah pada Mei 2011 kepada 3.00 peratus daripada 2.75 peratus.

OPR adalah satu daripada instrumen digunakan bank pusat untuk mengawal paras kenaikan inflasi, dan pelarasan OPR akan menentukan  kadar pinjaman asas semasa oleh bank-bank tempatan.

Menurut BNM dalam kenyataannya berhubung kenaikan OPR itu, petunjuk terkini menunjukkan terdapat kekuatan berterusan dalam eksport dan aktiviti sektor swasta di Malaysia.

"Momentum pertumbuhan keseluruhan ini dijangka kekal. Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi negara maju dan daripada permintaan serantau.

"Aktiviti pelaburan dijangka kekal kukuh, diterajui oleh sektor swasta. Perbelanjaan swasta di Malaysia akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan," menurut BNM yang menambah prospek ekonomi Malaysia akan kekal dalam laluan pertumbuhan stabil.

Pertumbuhan ekonomi kukuh ini bagaimanapun dikhuatiri memberi kesan kepada inflasi, dengan BNM menjangka inflasi akan terus berada pada paras lebih tinggi daripada purata jangka panjang kerana faktor kos domestik yang lebih tinggi.

Menurut BNM, kenaikan OPR bertujuan mengurangkan risiko ketidakseimbangan kewangan dan ekonomi yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya semalam berkata, hutang isi rumah ialah perkara utama dalam ketidakseimbangan kewangan yang disebut oleh BNM kelmarin.

"Hutang isi rumah telah meningkat secara mendadak sejak negara pulih daripada krisis kewangan global (pada 2008).

"Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak daripada hanya 60.4 peratus pada penghujung 2008 kepada 86.8 peratus akhir tahun lalu.

"Ini meletakkan Malaysia hanya di belakang Korea Selatan, yang kini negara dengan nisbah hutang isi rumah-KDNK tertinggi di Asia sebanyak 91.1 peratus," menurut MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, BNM dijangka tidak akan menaikkan lagi OPR bagi tahun ini kerana ekonomi Malaysia sudah mula perlahan dengan banyak petanda menunjukkan langkah-langkah berhemah mikro dan makro yang diambil sudah mula menunjukkan kesan.

Menurut MIDF Research, indeks harga rumah juga menurun kepada lapan peratus bagi suku pertama tahun ini, iaitu paling rendah sejak suku keempat 2010.


OPR dijangka naik lagi

Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 0.25 peratus pada awal 2015 sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) sebaliknya berpendapat, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus lagi pada akhir tahun ini.

"Kenyataan BNM mengenai prospek pertumbuhan kukuh dan inflasi dijangka kekal tinggi berbanding purata jangka panjang, pada pendapat kami menjadi petunjuk kuat mengenai kenaikan OPR lagi," menurut Maybank IB dalam nota penyelidikannya, semalam.

Menurut Maybank IB, dengan pertumbuhan dijangka kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang tinggi dan pemulihan dalam permintaan luaran, OPR dijangka dinaikkan kepada 3.50 peratus menjelang akhir tahun ini.


Pelaburan luar tidak terjejas

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan OPR tidak akan banyak memberi kesan kepada sentimen dan keyakinan pelaburan atau pelabur.

“Malaysia akan terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan dan menarik bukan hanya kepada mereka dari luar negara tetapi juga di dalam negara.

“Kenaikan OPR adalah minimum dan ia mempunyai kaitan dengan gambaran lebih besar dari segi kedudukan ekonomi, seperti kenaikan kecil kadar inflasi dan hutang domestik,” katanya semalam, seperti dilaporkan Bernama.

Mustapa berkata, langkah itu akan mengurangkan sedikit peningkatan hutang isi rumah.

“Mungkin ada sedikit kesan kecil kepada penggunaan domestik. Tetapi pada pandangan saya, ia tidak banyak. Dalam pada itu, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dari segi penggunaan,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Teks Opening Moderator Online Webinar "Social Enterpreneurship"

  Bismillahirrahman  Arrahim,  Yang Berusaha,  Ketua Unit Keusahawanan Politeknik Muadzam Shah,  Ketua Jabatan Perdagangan,  Puan Junaida bi...